Search

PRU Sabah: Kita jaga Karambunai bersama, tekad Yakub atas kata-kata semangat diterimanya

November 25, 2025

Info X Reporters

SEPANGGAR: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Karambunai, Datuk Yakub Khan menerima kata-kata semangat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebelum memulakan kempen hari ke-10 Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.

Yakub minum kopi bersama orang kuat UMNO dan BN Melaka itu di sebuah restoran, di sini, sebelum beramah mesra dengan pengunjung lain pada Selasa.

“Pagi tadi, sebelum memulakan jadual yang padat, saya sempat menikmati secawan kupi bersama Ketua Menteri Melaka, YAB DSU Ab Rauf Yusoh.

“Sempat juga beramah mesra dengan para pengunjung yang hadir di gerai tersebut. Ramai yang menitipkan ucapan ‘all the best’ serta mendoakan kejayaan.

“Terima kasih atas setiap kata semangat yang diberikan. InsyaAllah, #KitaJagaKarambunai bersama,” katanya.

Selesai minum pagi, Yakub sempat meninjau proses pengundian awal di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar.

“Tahniah dan terima kasih kepada semua pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.

Terdahulu, pada malam Isnin, Yakub ditemani Pengerusi MARA yang juga Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki beramah mesra bersama pengundi di PDM Telipok Laut, Kampung Lapasan Telipok dan PDM Taman Indah Permai, Markas Kampung Kuala Manggatal.

“Terima kasih kepada Datuk Dr Wira Asyraf Wajdi Dusuki, Setiausaha Agung UMNO, yang turut menemani saya. Saya sempat berkongsi sedikit tentang keunikan serta kehebatan Karambunai, daerah yang kaya dengan kepelbagaian kaum dan keharmonian yang begitu jelas terpancar.

“Semoga negeri ini terus maju, makmur dan diberkati dengan perpaduan yang berkekalan,” katanya.

Kempen PRU Sabah Ke-17 kini berbaki kira-kira tiga hari lagi sebelum hari pengundian pada Sabtu ini. – Info X