Search

PRU Sabah: ‘Peluang Johainizamshah sebaris Bung Moktar’

November 25, 2025

Info X Reporters

Alias Abdullah

MAMPUKAH suara bersemangat anak muda menenggelamkan suara garau orang lama yang masih ‘bertenaga’ bagi membawa perubahan di Kinabatangan, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Atau mampukah anak muda Kinabatangan memujuk rakyat di kawasan itu untuk menyokong dan memilihnya pada Pilihan Raya Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, setelah sekian lama rakyat kawasan berkenaan masih setia pada yang ‘satu’.

Persoalan itu bukan hanya berlegar di Kinabatangan, malah turut menjadi perhatian seluruh rakyat Sabah kerana lawan orang muda di kerusi DUN Lamag bukan pemimpin biasa-biasa, bukan calang-calang orang.

Ada yang menggelarnya ‘peminum darah’, malah ada juga menggelarnya ‘pakyu’ berikutan kelantangan dan keberaniannya menyuarakan pendapat serta menyanggah tuduhan orang lain terhadapnya.

Siapa tidak kenal Datuk Seri Bung Moktar Radin, Ketua UMNO Sabah dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah yang menjadi Ahli Parlimen Kinabatangan sejak 1999 dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag sejak kerusi itu mula dipertandingkan pada 2020.

Lima penggal sebagai Ahli Parlimen dan sepenggal sebagai ADUN bukan tempoh yang singkat, malah namanya sudah terpahat di bumi Kinabatangan sebagai seorang pemimpin yang mewakili rakyat kawasan itu.

Namun, bukan selamanya kedudukan Bung Moktar boleh dianggap selamat, terutama pada PRU Sabah Ke-17 ini, berikutan kesedaran sampai bila rakyat Kinabatangan hanya bergantung kepada seorang pemimpin untuk membela mereka.

Johainizamshah Johari.

Itu yang ditekankan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Johainizamshah Johari, seorang pemimpin muda yang baru bertapak dalam politik menerusi misinya merampas kerusi DUN Lamag yang dipertahankan Bung Moktar pada PRU Sabah Ke-17, 29 November ini.

Menerusi hantaran di Facebook beliau sejak beberapa hari lalu, ungkapan ‘Kita sudah menunggu terlalu lama. Demi generasi masa depan, inilah masanya untuk perubahan’ berulang-ulang dimuat naik untuk tatapan penyokongnya di media sosial.

Jelas itulah mesej utama yang ingin disampaikan Johainizamshah kepada rakyat Kinabatangan yang akan membuat keputusan demokrasi di peti undi pada pengundian awal, 25 November dan pengundian biasa pada 29 November ini.

Benar, sudah lama tiada ‘perubahan’ di Kinabatangan dan perubahan itu dirujuk pemerhati politik kepada pemimpinnya yang sudah terlalu lama dan sudah sampai masanya ditukar dengan orang baharu yang lebih muda.

Itu juga menjadi misi penting Johainizamshah apabila dicalonkan mewakili GRS bagi mencabar Bung Moktar di kerusi DUN Lamag, namun cabaran yang dihadapinya sudah tentu bukan sesuatu yang mudah.

Selain berdepan Bung Moktar, Johainizamshah juga berdepan bekas rakan seperjuangannya, Mohd Ismail Ayob yang mengambil keputusan bertanding calon bebas di kerusi DUN Lamag, selain empat lagi calon lain dalam pertembungan enam penjuru.

Meskipun perlawanan yang amat mencabar, Johainizamshah tetap dengan tekad mahu menewaskan Bung Moktar berpandukan gerak kerja kempen yang kini sudah hampir ke penghujung.

Jika dilihat sambutan rakyat Lamag sepanjang 10 hari kempen PRU Sabah Ke-17, khususnya orang muda, sokongan terhadap Johainizamshah tiada kurangnya berbanding calon lawan, justeru tidak keterlaluan jika dikatakan beliau juga sebaris dengan nama besar dari segi peluang memenangi kerusi DUN Lamag.

Apa yang perlu ketika ini ialah untuk memberi beliau peluang bagi membuktikan komitmennya terhadap rakyat DUN Lamag melalui PRU Sabah Ke-17 pada Sabtu ini.

“Saya merayu kepada semua pengundi awal di Lamag terutamanya agar dapat memberi saya peluang kali ini untuk memimpin dan membawa Lamag ke arah yang lebih baik pada masa hadapan.

“Rakyat berhak menerima perkhidmatan terbaik daripada wakil yang kamu pilih, dan insya-Allah, saya akan memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab, kejujuran dan kesungguhan.

“Selamat mengundi, dan gunakanlah peluang ini sebaik-baiknya demi masa depan Lamag yang lebih maju dan sejahtera,” katanya dalam mesej kepada pengundi awal yang melaksanakan tanggungjawab pilihan raya, hari ini.

Meskipun muka baharu, anak tempatan Kinabatangan itu sudah mempunyai buku laporannya sendiri berdasarkan tugasnya selaku Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) sebelum ini dan Timbalan Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagsan Rakyat) Bahagian Lamag.

Bandar Baharu Seri Milian di Kota Kinabatangan yang sudah dibuat pecah tanah oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, sebelum ini adalah antara usahanya dalam membawa pembaharuan ekonomi di daerah itu.

Jika diberi mandat pada PRU Sabah Ke-17, tidak mustahil lebih banyak perubahan dapat dibawanya di Lamag dan Kinabatangan sejajar semangat orang muda yang sentiasa tampil dengan pelbagai idea baharu untuk manfaat rakyat kawasan itu.

Artikel ini adalah pandangan penulis semata-mata dan tidak mewakili pendirian rasmi Info X.