KOTA KINABALU: Calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi DUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, menggariskan 10 tawaran utama sebagai panduan melaksanakan pembangunan di kawasan itu jika diberi mandat pada 29 November ini.
Beliau berkata tawaran itu berpandukan persoalan rakyat yang ingin mengetahui hala tuju kepimpinan baharu jika beliau berjaya mewakili mereka di DUN Karambunai nanti.
Berikutan itu, katanya beliau menggariskan 10 perkara sebagai jawapan kepada persoalan rakyat DUN Karambunai yang merangkumi perancangan jelas, menyeluruh dan bersifat rakyat-centric.
“Setiap tawaran dirangka dengan tekad agar setiap warga Karambunai merasai kemajuan, dihargai dan tidak ada yang tercicir.
“Tawaran ini adalah usaha awal bagi meletakkan asas pembaharuan yang lebih tersusun demi kesejahteraan jangka panjang seluruh keluarga besar Karambunai.
“Saya percaya apabila kita semua berganding bahu, masa depan Karambunai bukan sekadar lebih baik, tetapi jauh lebih gemilang,” katanya.
Tawaran yang digariskan beliau disusun secara strategik mengikut setiap abjad dalam ‘KARAMBUNAI’ yang akan dilaksanakan beliau apabila memenangi kerusi itu nanti.
Di bawah huruf K – Kerja Kuat Untuk Semua, beliau menawarkan penubuhan Tabung Kebajikan Rakyat DUN Karambunai, menjadikan kawasan itu sebagai hab pendidikan dan melaksanakan program latihan dan kemahiran rakyat bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi.
Bagi huruf A – Akauntabiliti, Telus dan Bebas Skandal, Aliakbar berikrar untuk membentangkan Laporan 100 Hari ADUN, laporan prestasi dwitahunan dan mengadakan sesi dialog rakyat setiap enam bulan bagi memastikan urus tadbir terbuka dan bertanggungjawab.
Katanya, di bawah huruf R – Rakyat Karambunai Diutamakan, beliau memperincikan cadangan menubuhkan Pusat Khidmat Bergerak, Suara Aduan Rakyat Digital, Pusat Kecemerlangan Akademik dan Program Keselamatan Komuniti untuk melindungi dan memperkasa masyarakat setempat.
Seterusnya, A – Akses Kemudahan Diperluas, katanya menekankan perjuangan menaik taraf infrastruktur seperti jalan, lampu, air bersih, internet serta meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan jeti nelayan yang menjadi nadi ekonomi penduduk pesisir.
“Di bawah huruf M – Maju Ekonomi Setempat pula kita menawarkan pembentukan Pasar Komuniti Utama untuk usahawan tempatan, program keusahawanan wanita, latihan digital, penjenamaan dan rangkaian pembeli bagi merancakkan ekonomi rumah tangga.
“Bagi huruf B – Belia dan Anak Muda Diperkasa, kita akan merangka program pembangunan belia, kerjasama NGO, penganjuran Liga Sukan Dwitahunan termasuk bola sepak, e-sport dan bola jaring serta program Mentor Akademik dan Kerjaya untuk masa depan generasi muda.
“Kemudian huruf U – Upaya Semua Segmen Komuniti memfokus kepada sokongan ibu tunggal, ibu tinggal dan wanita bekerja melalui bengkel kemahiran kraf, digital mikro dan pemerkasaan ekonomi yang lebih inklusif,” katanya.
Selebihhya huruf N – Nilai Keluarga dan Keselamatan, beliau mencadangkan penubuhan skuad ALERT bagi keselamatan dan kecemasan serta program kemahiran kewangan dan kesejahteraan keluarga sebagai langkah memperkukuh institusi masyarakat.
Katanya, di bawah huruf terakhir A – Alam Sekitar Lestari pula menekankan usaha kelestarian dan ecotourism Karambunai, termasuk promosi Karambunai Tourism Wonders sebagai tarikan pelancongan yang memanfaatkan komuniti.
Akhir sekali katanya, huruf I – Inklusif Untuk Semua merangkumi program pemeriksaan kesihatan bergerak serta inisiatif budaya rentas kaum bagi memupuk perpaduan dan keharmonian antara penduduk pelbagai latar.
Aliakbar menyifatkan 10 tawaran itu sebagai langkah pertama menuju perubahan besar yang dihasratkan untuk masa depan Karambunai dan menyeru rakyat memilih politik penyelesaian melalui PN.
“Insya-Allah, inilah langkah pertama menuju perubahan,” katanya. – Info X