Search

PRU Sabah: Priscella janji tamat perjuangan tergantung di Melalap

November 27, 2025

Info X Reporters

TENOM: Calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, Priscella Peter, berikrar akan menamatkan perjuangan yang tergantung sejak 2018 sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, 29 November ini.

Dalam ucapannya di hadapan ribuan penyokong, Priscilla menegaskan manifesto KDM untuk Melalap bukan manifesto baharu, sebaliknya kesinambungan dasar yang dirangka ketika parti itu dipimpin Datuk Peter Anthony.

“Saya tidak mula dari kosong. Apa yang kita lihat hari ini adalah perjuangan yang Datuk Peter mulakan sejak 2018, termasuk agenda ‘One Family, One House’.

“Itu bukan sekadar janji, tetapi komitmen untuk menyediakan rumah selamat dan mampu milik kepada B40, warga emas dan keluarga tiada kediaman,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sejak Datuk Peter tidak berada di kawasan, jentera KDM tidak pernah berhenti berkhidmat, malah meneruskan amanat yang ditinggalkan bekas presiden parti itu.

“Dari hari pertama beliau dijatuhkan hukuman, pesanan beliau kepada saya ialah menjaga keluarga besar Melalap, bukan diri saya sendiri,” ujarnya.

Priscella mendedahkan, sebanyak RM89 juta peruntukan untuk Melalap sebenarnya sudah diluluskan sebelum ini, namun keseluruhan perancangan itu ditarik balik selepas berlaku pertukaran kerajaan.

“Kita hanya diberi dua tahun dalam kerajaan. Banyak yang belum sempat dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen meneruskan pembangunan pasar Melalap yang sebelum ini tertangguh.

Mengakhiri ucapannya, Priscella mengingatkan penyokong supaya tidak terpengaruh dengan cerita pihak lawan dalam tempoh dua hari terakhir kempen.

“Kalau kita berpecah, kita sendiri yang rugi. Boleh kita bersatu hati? Boleh kita menangkan calon nombor 2 di Melalap?” katanya disambut sorakan penyokong.

Priscella turut menjelaskan bahawa dirinya memang berasal dari Tenom dan mempunyai pertalian keluarga yang kuat di daerah itu, sekali gus menepis dakwaan kononnya beliau bukan anak tempatan.

Dengan keyakinan penuh, Priscella berkata beliau percaya KDM bukan sahaja mampu menawan DUN Melalap, tetapi juga berpotensi menjadi parti yang menerajui kerajaan selepas PRU Sabah Ke-17. – Info X