Search

MANFAATKAN AKSI PERSAHABATAN DI JAKARTA SEBELUM SAINGAN LIGA BERSAMBUNG, KATA KIM SWEE

June 6, 2022

admin

KOTA KINABALU: Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, kemenangan 2-1 ke atas Parsija Jakarta di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi, di Indonesia malam tadi, penting buat skuad kendaliannya.

Katanya, kemenangan itu dianggap penting selepas para pemain berehat panjang, sekali gus memberi ruang untuk mereka menunjukkan prestasi terbaik masing-masing.

Beliau berkata, aksi malam tadi juga satu permulaan baik ketika Sabah FC masih mempunyai baki dua perlawanan persahabatan penting sepanjang berada di Jakarta.

“Aksi persahabatan ini membolehkan semua pemain dapat menimba pengalaman serta pendedahan sebelum Liga Super bersambung kelak.

“Persija Jakarta seperti kebiasaan, meskipun ketinggalan mereka pasti akan memberi tekanan kepada pasukan lawan. Beraksi di hadapan penonton sendiri sudah tentu memberikan kelebihan kepada mereka.

“Situasi ini berlaku kepada Sabah FC…Kita  melakukan beberapa kesilapan individu namun kembali berjaya mendapatkan gol kemenangan penting malam tadi.

“Secara keseluruhan saya sangat berpuashati dengan corak persembahan pasukan malam tadi. Kita harap mereka akan mengekalkan corak permainan ini sekali gus berupaya memperbaiki kesilapan sedia ada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai perlawanan persahabatan kedua menentang Bhayangkara FC yang diadakan tanpa kehadiran penonton, Kim Swee berkata Bhayangkara FC tidak mempunyai perbezaan ketara dengan pasukan sebelum ini dan berharap para pemainya mampu menampilkan aksi terbaik agar sasaran untuk mencapai kemenangan dapat diperolehi.

“Objektif kita adalah sama seperti ditunjukkan ketika menentang pasukan Persija…Namun pemain yang akan diturunkan harus memikul tanggungjawab yang sama.

“Tidak kira siapa diturunkan dan saya harap apa yang penting pendedahan serta pengalaman bermain dengan pasukan luar Malaysia dapat dimanfaatkan ketika menentang Sri Pahang apabila Liga Malaysia disambung semula nanti,” katanya. – Info X