Search

PRU Sabah: Pakaian ada imej politik dilarang, pengundi turut ditegah guna telefon bimbit ketika mengundi – SPR

November 28, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pengundi, termasuk calon dan petugas yang memasuki Pusat Mengundi pada hari mengundi PRU Sabah Ke-17, esok dilarang memakai pakaian mempunyai sebarang gambar atau simbol politik.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata larangan itu termasuk baju, topi, pelitup separuh muka atau facemask atau material lain yang dibawa ke Pusat Mengundi.

“Semua pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki Pusat Mengundi pada Hari Mengundi dilarang memakai baju, topi, pelitup separuh muka (facemask) atau membawa material yang mempunyai nama, lambang, simbol, gambar parti atau calon yang bertanding atau apa-apa bahan kempen.

“Larangan turut merangkumi sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

“Kegagalan pengundi mematuhi atau melanggari peruntukan yang ditetapkan boleh menyebabkan pengundi dilarang dari memasuki Pusat Mengundi oleh petugas pilihan raya.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam. Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, katanya pengundi juga dilarang menggunakan telefon bimbit di tempat mengundi atau saluran di semua Pusat Mengundi.

“SPR mengingatkan kepada semua pengundi bahawa penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran) adalah tidak dibenarkan. Sebagai peringatan, notis atau poster larangan penggunaan telefon bimbit akan diletakkan di luar dan di dalam tempat mengundi.

“SPR turut menetapkan bahawa pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.

“Pelaksanaan tatacara pengundian yang baharu ini boleh dirujuk menerusi poster Tatacara 10 Langkah Pengundian yang menjelaskan proses pengundian sepenuhnya. Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing,” katanya. – Info X