Search

Mandela, Awang Kadin dijangka angkat sumpah ADUN Dilantik

December 1, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Moyog, Datuk Ceasar Mandela Malakun dan Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Datuk Awang Kadin Tang dijangka mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik di bawah kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.

Nama dua pemimpin itu adalah antara enam orang yang dijangka mengangkat sumpah sebagai ADUN Dilantik di hadapan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Isnin.

Lazimnya, pelantikan ADUN Dilantik dibuat bagi memberi peluang kepada parti menyokong kerajaan yang tiada wakil atau untuk menambah wakil sedia ada selepas pilihan raya agar turut berada dalam DUN sebagai sebahagian barisan penyokong kerajaan.

Selain dua pemimpin mewakili Gagasan Rakyat itu, turut dijangka dilantik ialah pemimpin mewakili masyarakat Cina, kemungkinannya dari Parti Liberal Demokratik (LDP), berikutan ketiadaan wakil Cina yang menang mewakili parti kerajaan pada PRU Sabah Ke-17, Sabtu lalu.

Difahamkan majlis angkat sumpah ADUN Dilantik dibuat terlebih dahulu sebelum angkat sumpah anggota Kabinet baharu kerajaan negeri yang turut dijadualkan pada petang ini. – Info X