Search

Masidi, Ewon Timbalan Ketua Menteri baharu

December 1, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Masidi Manjun dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick dilantik Timbalan Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan turut memegang portfolio Menteri Kewangan, manakala Ewon yang juga ADUN Kadamaian memegang portfolio Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan.

Sementara itu, pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam turut kekal sebagai Timbalan Ketua Menteri dan turut memegang portfolio Menteri Kerja Raya dan Utiliti.

Jemaah baharu Kabinet Sabah itu turut merangkumi tujuh lagi portfolio menteri yang mewakili pelbagai parti, iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Mereka ialah ADUN Membakut, Datuk Mohd Arifin Arif – Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan; ADUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar – Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan; ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang – Menteri Pembangunan Luar Bandar dan ADUN Sugut, Datuk James Ratib – Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi.

Selebihnya ialah ADUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin – Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar; ADUN Matunggong, Datuk Julita Mojungki – Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat serta ADUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan – Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif.

Beberapa portfolio turut berubah nama berbanding dalam kerajaan sebelum ini iaitu Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif yang menggantikan portfolio Belia dan Sukan, manakala portfolio Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat menggantikan portfolio Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.

Turut diubah suai ialah portfolio Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi berbanding Sains, Teknologi dan Inovasi sebelum ini, manakala Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan menggantikan portfolio Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, diikuti Kementerian Kerja Raya dan Utiliti bagi menggantikan Kementerian Kerja Raya. – Info X