Search

Nelayan ditemukan meninggal dalam bot karam, abang masih hilang

December 1, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang nelayan ditemukan meninggal dunia di dalam bot yang karam berhampiran perairan Pulau Nunuyan, hari ini, manakala abangnya masih belum ditemui selepas kedua-dua mereka dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.

Mangsa dikenali sebagai Akbar Arman, 24, ditemui oleh pasukan penyelam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di dalam bilik kemudi bot nelayan, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Akbar bersama abangnya, Mohd Aswal, 32, kedua-duanya warga Indonesia yang juga kru bot nelayan itu dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan, Sabtu lalu.

Kehilangan mereka dilaporkan oleh majikan mereka semalam selepas menyedari dua beradik itu tidak pulang ke pangkalan.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain, berkata operasi mencari dan menyelamat dilakukan sebaik menerima laporan itu dengan tumpuan di lokasi terakhir bot terbabit.

Katanya, papan tunda dipercayai milik bot itu ditemui oleh sebuah bot nelayan tempatan ketika sedang menarik pukat di kawasan perairan kira-kira 8.1 batu nautika utara Pulau Nunuyan.

“Susulan penemuan itu, anggota melakukan operasi di kawasan berkenaan sebelum menemui bot mereka yang karam.

“Mayat seorang nelayan ditemui di bahagian ‘wheelhouse’ bot berkenaan. Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Maritim dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Muhammad Suhairy berkata, operasi diteruskan untuk mencari seorang lagi mangsa yang belum ditemui. – Info X