Search

Kehadiran BN dalam Kabinet baharu Sabah tidak disenangi pemimpin, penyokong GRS

December 1, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kehadiran wakil Barisan Nasional (BN) dalam Kabinet baharu kerajaan negeri tidak disenangi pemimpin dan penyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ramai yang menyatakan ketidaksesuaian menerima pemimpin BN setelah parti itu ditolak rakyat berdasarkan prestasi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 yang menyaksikan ia hanya memenangi enam kerusi.

Tidak cukup dengan itu, ramai yang tidak berpuas hati apabila BN menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) setelah gabungan parti tempatan itu dan pemimpinnya dihentam BN sebelum dan sepanjang pilihan raya lalu.

Berdasarkan senarai jemaah Kabinet baharu yang diumumkan pada Isnin, BN diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau yang juga Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, seorang pemimpin UMNO Sabah yang dilihat sebagai orang kuat Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Jafry memegang portfolio Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, iaitu jawatan yang pernah disandangnya ketika UMNO-BN bersama membentuk kerajaan negeri selepas PRN16 pada 2020 tetapi keluar pada Januari 2023.

Ia kemudian mencetuskan Langkah Kinabalu yang menyaksikan cubaan UMNO-BN dan Warisan untuk menjatuhkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan pimpinan GRS.

Pergerakan Pemuda, Wanita dan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) antara yang terawal menyatakan bantahan sebelum disusuli pergerakan Pemuda dan Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Turut menyatakan rasa kecewa berikutan perkembangan itu ialah Majlis Belia Sabah (MBM) yang berpandangan tidak wajar membawa masuk parti luar ke dalam kerajaan negeri.

Presidennya, Abqaree Fawwaz Abekan, berkata ramai anak muda berkempen untuk menyuarakan perubahan pada pilihan raya lalu untuk memastikan negeri ini hanya ditadbir oleh parti tempatan.

“Hari ini, kita berdiri dengan hati yang berat dan kecewa terhadap perkembangan terkini dalam pembentukan kabinet negeri. Keputusan untuk melibatkan parti luar ke dalam struktur kerajaan negeri telah menimbulkan luka dan kekecewaan mendalam di kalangan belia Sabah yang selama ini berjuang habis-habisan demi mempertahankan maruah politik negeri ini.

“Anak-anak muda Sabah telah berkorban jiwa dan raga – menggerakkan kempen, mencurah tenaga, dan menyuarakan suara perubahan. Dengan satu harapan jelas: bahawa masa depan Sabah mesti ditentukan oleh anak Sabah sendiri, bukan bergantung kepada percaturan parti luar atau kepentingan politik dari Semenanjung.

“Namun apa yang berlaku hari ini seolah-olah menidakkan segala pengorbanan tersebut. Kami merasa dianaktirikan, dipandang enteng dan tidak dihargai, seakan usaha menegakkan maruah negeri ini diperlakukan sebagai permainan politik semata-mata,” katanya.

Beliau berkata, anak muda mahu melihat kepimpinan yang berani, bermaruah dan bebas daripada pengaruh luar, selain melihat Sabah yang berdiri atas kaki sendiri, bukan bersandar kepada kuasa yang pernah memperlahankan kemajuan dan menyekat cita-cita rakyat Sabah selama puluhan tahun.

“Hari ini, kami berdiri bukan untuk membenci sesiapa, tetapi untuk mempertahankan maruah negeri. Kami menolak sebarang keputusan politik yang melemahkan autonomi Sabah dan mengkhianati aspirasi anak muda yang ingin melihat perubahan sebenar.

“Kita tidak menolak kerjasama atau memutuskan silaturahim, tetapi, kerjasama itu, perlu menghormati maruah anak muda Sabah. Belia Sabah akan terus bangkit, akan terus bersuara, dan akan terus mempertahankan hak kami untuk masa depan yang lebih bermaruah,” katanya. – Info X