Search

Hajiji yakin Kabinet baharu pacu kemajuan Sabah

December 1, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yakin setiap anggota Jemaah Menteri baharu yang dilantik hari ini memiliki pengalaman dan kemampuan untuk memimpin kementerian masing-masing ke arah kemajuan lebih cemerlang bagi Sabah.

Beliau berkata, Kabinet baharu itu turut perlu memastikan kesinambungan pelaksanaan program pembangunan seperti yang dirancang di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Sambil mengucapkan tahniah kepada semua menteri baharu, Hajiji mengingatkan tanggungjawab yang dipikul amat besar dan perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi serta integriti.

“Menteri harus berkhidmat kepada seluruh rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang, selain memastikan amanah yang diberikan ditunaikan sepenuhnya,” katanya.

Hajiji berkata demikian pada sidang media di Sri Gaya petang ini, selepas upacara angkat sumpah Jemaah Menteri baharu Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Isnin.

Teks sidang media beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata, majlis itu membawa makna besar kerana ia memperkukuh iltizam kerajaan negeri untuk terus berkhidmat demi kepentingan rakyat dan masa depan Sabah.

Dalam sidang media sama, beliau turut mengumumkan senarai penuh Jemaah Menteri yang dilantik dalam Kabinet baharu kerajaan negeri. – Info X