Search

ADUN GRS kekal teguh bersama Hajiji

December 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Meskipun tidak berpuas hati terhadap kehadiran wakil Barisan Nasional (BN) dalam jemaah Kabinet baharu negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetap berdiri teguh di belakang Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Pendirian itu dijelaskan ADUN Klias, Datuk Isnin Aliasnih apabila ditanya mengenai perkara itu setelah ramai pemimpin GRS meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kehadiran wakil BN dalam Kabinet baharu diketuai Hajiji.

Berdasarkan laporan The Star, Isnin dilaporkan berkata keadaan ketika ini adalah terkawal dan ketidakpuasan hati berhubung penyertaan BN dalam kerajaan negeri disifatkan sebagai ‘perkara kecil yang boleh diselesaikan’.

“Kami teguh sokong ketua menteri, malah (ADUN) Bebas pun bersama kami.

“Tiada sebarang langkah sedang diatur. Cuma ada perbincangan tentang BN yang jadi sebahagian kerajaan negeri, tetapi itu perkara kecil yang boleh diselesaikan. Keadaan terkawal,” katanya seperti dilaporkan The Star.

Sebelum itu, tular gambar menunjukkan sekumpulan ADUN berjumpa di sebuah hotel, di sini, dipercayai membincangkan langkah seterusnya berhubung kemasukan wakil BN dalam kerajaan baharu pimpinan GRS.

Semalam, ADUN BN dari Sukau yang juga Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu.

Beliau adalah antara 10 anggota Kabinet baharu Sabah, termasuk tiga Timbalan Ketua Menteri, iaitu Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Datuk Seri Masidi Manjun dan Datuk Ewon Benedick.

Pelantikan wakil BN dalam Kabinet menimbulkan ketidaksenangan sebahagian besar pemimpin dan penyokong GRS dan parti yang menyokong pembentukan kerajaan baharu pimpinan GRS, khususnya Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Sebahagian daripada mereka turut meluahkan kekecewaan dan rasa tidak puas hati terhadap perkara itu melalui media sosial.

Ramai yang menyuarakan bantahan berikutan tindakan BN yang selama ini menghentam GRS dan merendahkan gabungan parti tempatan itu, termasuk sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.

Atas sebab itu, mereka berpendapat BN tidak patut diterima dalam kerajaan baharu, lebih-lebih lagi parti itu sudah ditolak rakyat Sabah apabila hanya menang enam kerusi daripada 45 kerusi yang ditandingi. – Info X