Search

Lelaki cedera jatuh ketika turun dari Bukit Botak

December 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Aktiviti mendaki bertukar cemas apabila seorang lelaki cedera selepas terjatuh ketika menuruni Bukit Botak, Sepanggar, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa berusia 34 tahun dikatakan hilang imbangan ketika menuruni laluan curam bukit berkenaan sebelum terjatuh, menyebabkan kecederaan pada bahu kiri serta kaki kiri.

Ketua Operasi APM Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior Simon, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.04 petang memaklumkan seorang pendaki terjatuh kira-kira 300 meter dari kaki bukit.

“Sebaik tiba, mangsa didapati mengalami kecederaan pada bahu kiri, cedera di kaki kiri dan mengadu sakit pada bahagian pinggul.

“Operasi menyelamat yang melibatkan seorang pegawai dan empat anggota APM serta seorang pegawai dan lima anggota bomba mengambil masa hampir 20 minit untuk tiba ke lokasi berikutan laluan curam dan berbatu.

“Dua anggota APM memberikan rawatan awal termasuk memasang vital sign, splint kaki dan cervical collar sebelum proses membawa turun dilakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa keluar menggunakan folding stretcher, tali dan selimut dengan kaedah usungan oleh anggota APM dan bomba.

Operasi turut diselaras Komander Operasi, SM (PA) Mohd Harun Ahmad.

Mangsa berjaya dibawa keluar pada jam 7.19 malam sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk rawatan lanjut. – Info X