Search

PBS TOLAK TAWARAN WARISAN UNTUK BEKERJASAMA

June 7, 2022

admin

KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, parti itu mahu kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seterusnya menolak tawaran untuk berkejasama dengan Warisan.

Katanya, PBS dianggap sebagai salah satu pengasas GRS serta menyifatkannya sebagai “murni dan berkekalan” untuk kekal dalam gabungan “berasaskan rakyat”.

“Kami menjemput Warisan dan penyokong untuk berjuang dengan matlamat sama, iaitu bersama membangunkan Sabah serta menjamin negeri yang makmur dan selamat, bebas daripada pendatang asing tanpa izin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Maximus turut menggesa parti politik di Sabah supaya kembali ke akar umbi asas politik negeri itu ketika membentuk Malaysia pada 1963.

Beliau berkata, parti Sabah harus menyasarkan “kesatuan politik” seperti yang dicapai oleh parti politik terdahulu semasa penerimaannya sebagai sebuah negeri dalam Malaysia pada 1963 dan cita-cita seperti itu harus diteruskan dengan solidariti bersama negeri jiran, Sarawak.

“Mana-mana parti politik Sabah boleh menyokong matlamat dan aspirasi GRS tanpa menjadi ahli gabungan.

“Kami dalam PBS menghargai gerak kerja politik Warisan dan presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal untuk bekerjasama pada pilihan raya umum akan datang, tetapi sebagai parti tempatan yang berbilang kaum, berpengalaman, kami komited dan setia sepenuhnya kepada GRS dan rakan gabungannya,” katanya. – Info X