Search

Program Kebun Dapur untuk keterjaminan makanan rakyat – Jamawi

December 4, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar yang baru memulakan tugas di kementerian itu semalam merancang untuk memperkenalkan Program Kebun Dapur bagi meningkatkan keterjaminan makanan penduduk luar bandar negeri ini.

Beliau yang baru mengangkat sumpah jawatan itu pada Isnin lalu, berkata program itu membabitkan aktiviti pertanian di sekitar rumah seperti menanam sayur-sayuran, buah-buahan dan penternakan kecil-kecilan bagi menghasilkan makanan untuk kegunaan sendiri.

Langkah itu katanya mampu mengurangkan kos sara hidup rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah, selain menjadikan mereka sebagai pengeluar makanan yang berpotensi menambah pendapatan.

“Saya ingin mengemukakan satu cadangan dan jika ia tidak menyalahi polisi kerajaan mungkin kita boleh mulakan konsep kebun dapur. Kebun dapur ini adalah untuk rakyat berkebun di keliling rumah, menanam pelbagai tanaman yang boleh menjadikan hasil untuk dapur sendiri.

“Di samping itu, kita juga bekalkan dengan tanaman buah-buahan berpotensi tinggi. Kalau kita ingin galakkan ramai orang menanam, saya ingat satu masa nanti kita akan jadi pengeluar durian ataupun avokado atau nangka madu yang terbesar di Sabah.

“Kita hanya perlu mewujudkan pusat-pusat pengumpulan bahan makanan yang dihasilkan menerusi kebun dapur,” katanya selepas melapor diri di ibu pejabat Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, di sini, pada petang Rabu.

Jamawi adalah satu-satunya calon mewakili Pakatan Harapan (PH) yang menang pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), Sabtu lalu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap.

Berikutan kemenangan itu, beliau dilantik mewakili PH Sabah untuk menganggotai jemaah Kabinet negeri bersama sembilan anggota lain dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Barisan Nasional (BN).

Jamawi berkata, idea kebun dapur yang ingin dilaksanakannya itu diperoleh hasil lawatan ke Thailand sebelum ini yang berjaya mengaplikasikan konsep pertanian skala kecil berasaskan komuniti bagi meningkatkan ekonomi rakyat.

Sementara itu, bagi memastikan kejayaan program itu, beliau mencadangkan agar pusat semaian Jabatan Pertanian Sabah, pusat semaian Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan pusat semaian lain diperkasakan bagi menghasilkan benih berkualiti pada harga yang lebih murah untuk diagihkan kepada rakyat.

Beliau berkata, ramai masyarakat luar bandar tidak mempunyai modal untuk mengusahakan ladang berskala besar, namun melalui kebun dapur, mereka masih mampu menyumbang kepada pengeluaran makanan negeri.

Selain tanaman, beliau turut mencadangkan penternakan kecil-kecilan di sekitar rumah seperti ikan talapia dalam kolam kecil, ternakan ayam telur, ayam kampung dan kambing sebagai sumber protein dan pendapatan isi rumah.

“Konsep ini bukan saja membantu dari segi ekonomi, malah mampu merapatkan hubungan kekeluargaan kerana ia boleh dilaksanakan bersama ahli keluarga pada hujung minggu,” katanya.

Pelaksanaan program itu bergantung kepada keupayaan peruntukan kementerian, namun beliau bersedia menggunakan peruntukan khas menteri bagi melaksanakan projek perintis di beberapa lokasi terpilih dalam masa terdekat.

“Apa yang penting kita mula dahulu program ini supaya rakyat dapat melihat impaknya. Bila hasilnya jelas, program ini boleh diperluaskan ke lebih banyak kawasan,” katanya.

Jamawi sebelum ini menjelaskan amanah yang diberikan kepada beliau untuk mengetuai portfolio berkenaan selari dengan jiwa dan minatnya dalam bidang pertanian. – Info X