KOTA KINABALU: Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 yang berakhir pada Sabtu lalu disifatkan sebagai musim terbaik untuk mendengar keluhan rakyat dan usul pelbagai pihak bagi mengatasi masalah di negeri ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sehubungan itu berkata, kerajaan yang sudah dibentuk sejurus tamat PRN17 seminggu yang lalu perlu terus bekerja dan bekerjasama dengan semua pihak bagi melaksanakan menyelesaikan keluhan dan usul yang dikemukakan.
Katanya, kehadirannya ke Sabah pada hari ini, setelah seminggu selesai PRN17 juga adalah untuk menunjukkan bahawa sekarang adalah waktu untuk terus memulakan kerja.
“Saya hadir untuk menunjukkan bahawa selesai saja PRN17, sekarang adalah waktu untuk kita mula bekerja dan saya juga beri penjelasan menggunakan majlis ini dan memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa musim pilihan raya itu adalah musim terbaik kita mendengar keluhan dan usul dari semua pihak.
“Ada usul dari rakan kita sama ada yang diketuai oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor atau juga rakan dalam pembangkang yang diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
“Sekadar mendengar pandangan dan menilai, tapi yang pentingnya ialah bagaimana kita boleh bekerjasama melaksanakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sentuhan Madani Bersama Rakyat Negeri Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.
Mengenai PRN17, Perdana Menteri berkata apa yang penting dalam proses demokrasi itu ialah keputusannya diterima dengan baik dan ia adalah gambaran kematangan dalam berpolitik.
“Pilihan raya sudah berakhir untuk kita menghadapi lima tahun akan datang dan sepertimana juga yang dinyatakan, ada yang rasa gembira, ada yang sedikit kecewa, itu lazim dalam pertarungan demokrasi tetapi kematangannya ialah apabila kita terima dengan baik.
“Kebijakannya dan hikmahnya adalah kita gunakan kesempatan itu mendengar secara serius apa yang disuarakan, apa yang menjadi tuntutan, apa yang dibanggakan oleh rakyat dan apa yang diresahkan oleh mereka,” katanya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, walaupun beliau hanya dua hari datang berkempen sepanjang PRN17, beliau dapat meninjau secara dekat keadaan di Sabah, selain menemui ramai pihak.
“Walaupun saya di sini sekitar dua hari sahaja, tapi kita tinjau dari dekat dan menemui ramai tokoh dan melihat sendiri kekuatan suku-suku kaum daerah-daerah bandar, pinggir bandar, desa dan pedalaman.
“Bagaimana kita dapat tingkatkan usaha kita ini saya rasa penting kerana itu saya datang segera selepas pilihan raya kerana saya tidak mahu ada anggapan bahawa janji orang politik itu sebelum pilihan raya dan setelah menang dia rasa selesa,” katanya.
Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Hajiji atas kejayaan membentuk kerajaan yang diterajui GRS selepas PRN17 pada 29 November lalu.
“Tahniah setinggi-tingginya kepada saudara Hajiji, kena belajar ‘style’ dia, relaks tenang saja, tapi gemuruh di dalam, di luar tenang dan menang pula akhirnya,” katanya. – Info X