KUNAK: Kegiatan penyimpanan dan penjualan ayam sabung baka luar negara tanpa lesen terbongkar selepas sepasukan Task Force Risikan Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak menyerbu sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Sungai Atas, di sini, pada Khamis.
Serbuan jam 9.15 pagi itu dilakukan selepas risikan mendapati premis berkenaan dijadikan lokasi memelihara serta menjual ayam sabung secara haram. Operasi turut disertai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) cawangan Kunak.
Komander PGA Briged Sabah, Senior Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, sebaik tiba anggota memperkenalkan diri kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai pemilik premis dan individu yang menguruskan semua aktiviti sabung ayam di situ.

“Pemeriksaan kemudian menemui puluhan ayam sabung pelbagai baka serta peralatan lengkap untuk penjagaan dan latihan haiwan berkenaan.
“Suspek, warga Indonesia berusia 51 tahun, turut mengaku terlibat dalam aktiviti itu sejak 1992,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek membawa masuk ayam sabung dari luar negara melalui laluan tidak sah sebelum dihantar ke sekitar Semporna dan Lahad Datu.
“Ayam itu kemudian dijual pada harga antara RM3,000 hingga RM5,000 seekor kepada pihak terlibat dalam perjudian sabung ayam di Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah.
“Serbuan turut menemui 81 ekor ayam sabung baka luar negara bersama pelbagai ubat-ubatan dipercayai diimport secara haram dari Thailand dan Filipina, selain kandang, sangkar besi dan peralatan sabung ayam.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM290,858,” katanya.
Menurutnya, semua rampasan dan tangkapan diserahkan kepada JPVS Kunak untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015.
Sementara itu, Nor Omar menegaskan komitmen mereka membanteras rangkaian penyeludupan serta segala aktiviti jenayah terutama di kawasan panas sekitar pantai timur Sabah. – Info X