Search

Kepimpinan GLC Sabah akan dirombak – KM

December 7, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan memulakan proses penstrukturan semula secara menyeluruh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penstrukturan semula itu membabitkan pelantikan pengerusi dan ahli lembaga pengarah GLC.

Langkah itu adalah satu keperluan pentadbiran untuk mengukuhkan tadbir urus korporat dan akauntabiliti, selain menyuntik kepimpinan baharu bagi meningkatkan prestasi serta memacu pencapaian matlamat Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

“Matlamat kita adalah untuk menjadikan GLC sebagai pemangkin ekonomi yang berkesan dan boleh dipercayai melalui pengurusan yang kompeten, demi menjana nilai yang lebih besar kepada rakyat dan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Hajiji menekankan keperluan pasukan kepimpinan yang dinamik, profesional dan berorientasikan hasil untuk mengemudi era baharu yang dipacu pelaburan strategik, pendigitalan, tenaga baharu dan pembangunan sosial.

“Kita menghargai sumbangan kepimpinan terdahulu, namun rombakan perlu bagi memastikan transformasi yang berkesan dan kesinambungan.

“Keutamaan kita hanyalah untuk memastikan masa depan Sabah yang stabil, makmur dan terjamin selaras dengan aspirasi SMJ 2.0,” katanya. – Info X