KOTA KINABALU: DAP dan Pakatan Harapan (PH) berdepan krisis keyakinan yang serius berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 pada 29 November lalu.
Perkara itu diakui Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe menerusi satu kenyataan berkaitan keputusan PRU Sabah Ke-17 yang dibincangkan ketika Mesyuarat Jawatankuasa parti itu pada Ahad.
“DAP Sabah telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa pada 7 Disember 2025 untuk meneliti serta membincangkan keputusan Pilihan Raya Umum Sabah ke-17 dan seterusnya merangka halatuju parti pada masa hadapan.
“Kami menghormati dan menerima keputusan yang dibuat oleh pengundi di seluruh Sabah. Keputusan tersebut mencerminkan satu krisis keyakinan yang serius terhadap DAP dan Pakatan Harapan, yang mesti ditangani dengan segera dan bersungguh-sungguh,” katanya.
Pada pilihan raya itu, DAP yang bertanding atas tiket PH tewas di semua lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya, termasuk gagal mempertahankan empat kerusi yang disandangnya.
Secara keseluruhan, PH hanya menang satu daripada 21 kerusi yang ditandingi gabungan itu menerusi Datuk Jamawi Jaafar di kerusi DUN Melalap.
Berikutan keputusan itu, Jin Zhe berkata DAP tidak mengambil sebarang jawatan dalam kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“DAP Sabah menegaskan bahawa parti tidak pernah menghantar sebarang surat kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri berhubung penglibatan dalam kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu, Jin Zhe berkata DAP Sabah mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai peningkatan ambang e-invois kepada RM1 juta dan permulaan proses pelaksanaan pemulangan 40 peratus hasil yang menjadi hak Sabah.
Namun begitu, katanya DAP Sabah berpendapat bahawa lebih banyak langkah reformasi perlu dilaksanakan dan dipercepatkan untuk mengembalikan keyakinan rakyat sepenuhnya.
“Kerajaan perlu menyegerakan reformasi institusi dan melipatgandakan usaha meningkatkan ekonomi Sabah, termasuk memperkukuh urus tadbir yang telus dan baik, mengurangkan kerenah birokrasi serta meringankan beban rakyat,” katanya.
Dalam hal lain, Jin Zhe berkata DAP Sabah turut merakamkan ucapan takziah yang mendalam atas pemergian Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan.
“DAP Sabah menyampaikan simpati kepada keluarga beliau dan mendoakan mereka diberikan kekuatan menghadapi saat yang sukar ini,” katanya.
Katanya, DAP Sabah juga merakamkan penghargaan yang tulus kepada seluruh jentera parti, sukarelawan dan penyokong yang berusaha tanpa mengenal penat lelah sepanjang kempen pilihan raya.
“Semangat, komitmen dan dedikasi anda akan terus menjadi inspirasi dalam perjuangan kita pada masa hadapan,” katanya. – Info X