Search

Fifiana lakar sejarah sertai larian ultra trail 160 KM di Thailand

December 9, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pelari wanita dari Sabah, Noor Hafizah Zubaidi atau lebih dikenali sebagai Fifiana, melakar sejarah tersendiri menerusi penampilan sulung dalam perlumbaan ultra trail berprestij, Chiang Mai UTMB (Ultra-Trail du Mont-Blanc) dari 5 hingga 7 Disember lalu di Chiang Mai, Thailand.

Acara antarabangsa dianjurkan Running Connect Company Limited itu adalah salah satu kejohanan utama dalam siri dunia UTMB World Series yang menjadi impian besar setiap pelari denai di seluruh dunia.

Dengan cabaran 160 kilometer (KM) untuk penyertaan pertama, Fifiana berdepan cabaran fizikal dan mental yang luar biasa.

Laluan perlumbaan dengan ketinggian mencecah 9,711 meter, dan had masa ketat selama 48 jam serta cut-off time di setiap water station dan checkpoint yang memerlukan fokus penuh untuk tiba ke garisan penamat benar-benar mencabar stamina peserta.

“Ini adalah impian setiap pelari denai dan saya mahu menggapai impian pertama saya untuk menamatkan larian 160 KM di sini,” katanya.

Walaupun ia adalah kejohanan UTMB pertamanya, sepanjang tahun ini, Fifiana menyertai sembilan acara Marathon Jalan Raya di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Kudat, Miri, Kuching, Putrajaya, Kuala Lumpur dan di Osaka, Jepun.

Fifiana yang berasal dari Tamparuli juga pernah menyertai dua acara trail marathon di Sabah iaitu Kadamaian Adventure Race (60 KM) dan TMBT (50 KM).

Ia menggambarkan dedikasinya yang tinggi terhadap dunia larian, baik di jalan raya mahupun denai.

Selain aktif bertanding, Fifiana turut memimpin komuniti pelari di Kota Kinabalu dikenali sebagai RUNSYND.

Komuniti itu menganjurkan sesi latihan percuma dan berbayar untuk pelari baharu dan berpengalaman, sambil sama-sama berkongsi ilmu serta membina budaya larian yang sihat di Sabah. – Info X