KOTA KINABALU: Keputusan Mahkamah Rayuan Paris membatalkan ‘Anugerah Akhir’ AS$14.9 bilion daripada pihak yang menggelarkan diri mereka penuntut Sulu disifatkan sebagai muktamad dan kemenangan besar bagi Malaysia.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keputudan mahkamah antarabangsa itu pada 9 Disember lalu membuktikan Sabah adalah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.
“Saya menyatakan sebelum ini, kita akan mempertahankan kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia dan kita tidak akan sesekali melayan tuntutan sedemikian.
“Keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 9 Disember lalu sekali lagi membuktikan pendirian Sabah selama ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Bilik Gerakan Sekretariat Khas Sulu yang bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia.
Mahkamah Rayuan Paris memutuskan bahawa pemegang timbang tara, Gonzalo Stampa, tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan ‘Anugerah Akhir’ dan mendapati tiada perjanjian timbang tara yang sah mengikat Malaysia.
Kerajaan Negeri Sabah turut menegaskan semula komitmennya untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi membatalkan sebarang tuntutan pada masa hadapan.
“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas usaha gigih mereka dalam mempertahankan kedaulatan Sabah,” katanya. – Info X