Search

Suami isteri ditahan, disyaki edar syabu

December 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis menahan pasangan suami isteri disyaki terbabit dengan pengedaran dadah selepas melakukan serbuan terhadap sebuah kenderaan di kawasan parkir awam Likas Plaza, di sini, malam tadi.

Serbuan kira-kira jam 9.40 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah itu membawa kepada penemuan enam paket plastik lutsinar berisi syabu seberat 302.08 gram, dianggarkan bernilai RM21,000, yang disimpan dalam sebuah bungkusan biru dalam kenderaan berkenaan.

Ketua JSJN Kontinjen Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, bertindak atas maklumat pengedaran dadah, polis cuba menghentikan Perodua Aruz putih itu namun pemandunya bertindak agresif dengan mengundurkan kenderaan dalam cubaan meloloskan diri.

Tindakan itu, katanya, memaksa anggota serbuan memecahkan cermin pintu pemandu sebelum suspek berjaya ditahan.

“Hasil siasatan, suspek kemudian mengaku menyimpan dadah dan menyerahkan bungkusan biru yang diletakkan di bahagian kaki penumpang belakang.

“Dengan disaksikan suspek, pasukan serbuan memeriksa bungkusan berkenaan dan menemui enam paket plastik berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 302.08 gram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alhusin berkata, pemeriksaan lanjut dalam kenderaan tidak menemukan barang salah lain, namun polis turut merampas dua telefon bimbit bagi membantu siasatan.

“Suspek lelaki berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah, manakala isterinya berusia 27 tahun tidak mempunyai rekod jenayah.

“Kedua-duanya negatif hasil saringan awal air kencing dan kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, operasi memerangi pengedaran dadah akan diteruskan secara berterusan, selain menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu polis membanteras kegiatan narkotik di Sabah. – Info X