Search

78 ADUN angkat sumpah di hadapan Speaker

December 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Semua 78 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk ADUN Dilantik mengangkat sumpah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Khamis.

Secara keseluruhan, DUN Sabah mempunyai 79 kerusi termasuk enam kerusi ADUN Dilantik, namun satu kerusi iaitu DUN Lamag diisytihar kosong berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Jumaat lalu.

Upacara angkat sumpah yang bermula kira-kira jam 10 pagi itu didahului Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor (GRS-Sulaman) sebelum disusuli tiga Timbalan Ketua Menteri.

Mereka ialah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam (GRS-Kundasang); Datuk Seri Masidi Manjun (GRS-Karanaan) dan Datuk Ewon Benedick (UPKO -Kadamaian).

Selepas itu, angkat sumpah di hadapan Speaker, Datuk Kadzim M Yahya itu diteruskan tujuh ADUN yang memegang portfolio menteri dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan – Senallang).

Tujuh menteri terbabit ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif (GRS-Membakut); Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib (GRS-Sugut); Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Rubin Balang (GRS- Kemabong).

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar (PH-Melalap); Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin (BN-Sukau); Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (GRS-Apas) dan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Mojungki (GRS-Matunggong).

Selepas itu, angkat sumpah diteruskan oleh pembantu menteri sebelum disusuli ADUN lain dan ADUN Dilantik.

Enam ADUN Dilantik pada penggal DUN kali ini ialah Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi; Datuk Caesar Mandela Malakun; Datuk Abdul Kassim Razali; Datuk Roger Chin; Datuk Ir Chin Shu Ying dan Grace Lee Li Mei.

Angkat sumpah ADUN dibuat selepas kira-kira dua minggu berakhirnya Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 pada 29 November lalu.

Esok (Jumaat) DUN Sabah mula bersidang bagi pembentangan Belanjawan 2026 oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun. – Info X