KOTA KINABALU: Penjawat awam negeri menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM2,000 menerusi Belanjawan Sabah 2026 yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata bayaran Bantuan Khas Kewangan itu membabitkan seramai 18,853 penjawat awam negeri dengan implikasi kewangan dianggarkan sebanyak RM52.6 juta.
“Penjawat awam Sabah adalah nadi utama jentera pentadbiran perkhidmatan kerajaan. Oleh itu, selain daripada pelarasan gaji, Kerajaan Sabah juga ingin membawa khabar gembira kepada para Penjawat Awam Sabah dengan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM2,000 kepada semua anggota Perkhidmatan Awam Sabah termasuk yang berstatus Kontrak, Vot Terbuka dan Pekerja Sambilan Harian.
“Bantuan Kewangan ini akan dibayar sebanyak dua fasa iaitu pada Februari sebelum Hari Raya Aidilfitri dan sebelum sambutan Kaamatan tahun 2026.
“Bantuan Khas Kewangan ini turut dipanjangkan kepada pesara Kerajaan Sabah berjumlah RM1,000 yang akan dibayar pada tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Jumaat.

Terdahulu, beliau berkata perkhidmatan awam ialah nadi Kerajaan Sabah yang perlu sentiasa berfungsi dengan cekap dan berkesan bagi menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada semua lapisan masyarakat.
Berikutan itu, katanya Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM7.6 juta bagi menggalakkan pembelajaran secara berterusan dalam kalangan penjawat awam sebagai usaha untuk membentuk barisan pegawai yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, memiliki keupayaan analitikal dan kepimpinan masa hadapan.
“Selain itu, sejumlah RM16.85 juta diagihkan di semua agensi kerajaan Sabah di bawah pembangunan sumber manusia bagi memastikan penjawat awam terlatih, cekap dan dilengkapi dengan pengetahuan serta kemahiran yang diperlukan dalam menghadapi cabaran semasa,” katanya. – Info X