Search

Final Piala FA: Peminat Sabah FC hargai tiket percuma sumbangan kerajaan negeri

December 14, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Peminat bola sepak Sabah menghargai sumbangan tiket percuma dari kerajaan negeri bagi menyaksikan aksi final Piala FA, Sabah FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini.

Menerusi satu video yang dikongsikan di media sosial, penyokong Sabah FC berterima kasih kepada kerajaan negeri, khususnya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor atas inisiatif tiket percuma itu.

Mereka turut menyatakan sokongan dan harapan agar skuad Sang Badak memberikan persembahan yang terbaik dan berjaya melakar kemenangan pada malam ini.

Sebanyak 2,000 tiket percuma sumbangan kerajaan negeri melalui Sawit Kinabalu diberikan kepada penyokong dan peminat bola sepak Sabah yang berada di Semenanjung bagi menyaksikan aksi final itu.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg, berkata sumbangan itu bagi memastikan penyokong Sang Badak, khususnya di Semenanjung dapat hadir untuk memberi sokongan kepada pasukan.

Katanya, sumbangan tiket masuk ke Stadium Nasional itu selaras dengan hasrat Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk melihat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah bukan saja menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri, malah dalam aspek lain juga, termasuk sukan bola sepak.

“Bagi menyemarakkan semangat kesukanan dan sokongan terhadap pasukan Sabah FC, Sawit Kinabalu mengambil inisiatif menyumbang 2,000 tiket kepada peminat bola sepak Sabah, khususnya yang berada di Semenanjung bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Disember ini.

“Menerusi inisiatif ini, kita berharap dapat menghadirkan seramai mungkin penyokong Sabah FC di Stadium Nasional nanti sebagai tanda sokongan moral kepada pasukan untuk mencipta kemenangan,” katanya.

Sawit Kinabalu juga adalah penaja utama Sabah FC bagi musim ini dengan Victor turut dilantik sebagai Pengurus Sabah FC sejak Ogos lalu.

Aksi final Piala FA itu dianggap bersejarah bagi Sabah FC kerana menjadi kenyataan selepas 27 tahun Sang Badak berusaha untuk melangkah ke penentuan akhir perlawanan berprestij itu.

Sepak mula di Stadium Nasional Bukit Jalil dijadual pada jam 9 malam ini. – Info X