Search

Persidangan DUN: Percepat penubuhan jawatankuasa bayaran balik 40 peratus – Masiung

December 15, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri digesa mempercepatkan penubuhan jawatankuasa untuk menilai dan meneliti mekanisme yang sesuai bagi mendapatkan semula hak 40 peratus hasil negeri dari kerajaan Persekutuan.

Ketua Penyokong Kerajaan, Datuk Masiung Banah (GRS-Kuamut), berkata ketika ini belum ada jumlah yang jelas berhubung hasil dikutip dari negeri ini dan ia antara alasan kerajaan Persekutuan tidak menunaikan tuntutan negeri ini.

“Saya ingin menekankan lagi kepada pihak kerajaan negeri supaya mempercepatkan jawatankuasa untuk menilai dan meneliti mekanisme-mekanisme yang perlu kita tuntut.

“Kerajaan, rakyat bingung, saya sendiri juga bingung, sekejap RM10 bilion, sekejap RM40 bilion dan itulah kononnya alasan Persekutuan untuk masih lagi sekarang tidak dapat menunaikan hasrat kita untuk menuntut.

“Jadi, saya mahu kerajaan negeri bermula selepas sidang DUN ini tubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menilai, meneliti apa mekanisme yang perlu kita persembahkan kepada Persekutuan.

“Mesti ada keputusan yang tuntas daripada kerajaan Persekutuan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, pada Isnin.

Sementara itu, Masiung berkata beliau memahami situasi Belanjawan Sabah pada tahun depan yang menurun berbanding tahun ini.

Katanya, hasil Sabah yang ketika ini bergantung kepada hasil kelapa sawit dan petroleum terdedah kepada keadaan ekonomi pasaran.

“Dulu kita ada kayu balak tetapi sekarang kayu balak sudah tak ada. Kita hanya bergantung kepada kelapa sawit, tetapi kita sedang menunggu kelapa sawit ini naik harga kerana ia bergantung kepada harga pasaran.

“Demikian juga petroleum, turut dipengaruhi oleh harga pasaran. Jadi bagaimana kita mencari hasil baharu? Saya sarankan kepada kerajaan negeri, tadi telah dinyatakan Ketua Pembangkang mengenai hasil lain supaya kita terokai,” katanya.

Katanya, Sabah mempunyai banyak sumber mineral lain seperti emas dan arang batu yang boleh diteroka bagi menambah hasil negeri dan manfaatnya dapat dinikmati bersama rakyat Sabah. – Info X