KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran mencontohi kerajaan negeri Sabah berhubung pengiktirafan ‘Unified Examination Certificate’ atau UEC yang menjadi isu di Semenanjung ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook, berkata sijil UEC itu yang masih dipertikaikan penggunaannya di Semenanjung sudah dua kali diiktiraf oleh kerajaan Sabah.
Katanya, pengiktirafan pertama dibuat ketika Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjadi Ketua Menteri pada. 29 September 2019, manakala pengiktirafan kedua oleh Ketua Menteri sekarang, Datuk Seri Hajiji Noor pada 3 Oktober 2025.
“Kebelakangan ini, hangat diperdebatkan dan berlaku pertelingkahan dalam Kerajaan Perpaduan di Semenanjung berkait isu pengikhtirafan UEC yang dikeluarkan sekolah Menengah Persendirian Cina.
“Pelajar yang bersekolah di SM Persendirian Cina Negeri Sabah ini agak bernasib baik sedikit kerana UEC telah diikhtiraf dua kali oleh Kerajaan Negeri Sabah, kali pertama diumumkan oleh YAB Senallang pada 29 September 2019 dan kali kedua diumumkan sekali lagi oleh YAB Sulaman pada 3 Oktober 2025.
“Justeru, kita mengharap agar PMX dapat mencontohi Kerajaan Negeri
Sabah dalam isu Pengikhtirafan UEC ini. Datanglah ke Negeri Sabah belajar dengan YB Senallang dan YAB Sulaman,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2026 pada Persidangan DUN, pada Isnin.
Bekas pegawai pendidikan itu bagaimanapun menyatakan harapan agar pengikhtirafan UEC fi Sabah bukan semata-mata sepucuk surat kelulusan saja.
“Justeru, saya ingin tahu apakah manfaat utama yang bakal diperolehi oleh pemilik Sijil UEC ini? Apakah rancangan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri atau Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi yang baru diwujudkan ini untuk memberi manfaat kepada pelajar pemilik Sijil UEC ini.
“Kita tahu selama ini kebajikan mereka kurang diambil perhatian khususnya oleh Kerajaan Persekutuan sedangkan ibu bapa mereka juga adalah pembayar cukai kepada kerajaan.
“Pelajar keluaran UEC ini sudah ramai yang menyumbang kepada pembangunan negeri Sabah. Contoh yang paling jelas, YB Kapayan juga adalah bekas pelajar pemilik Sijil UEC,” katanya.
Sementara itu, Tham bertanya sama ada kerajaan negeri boleh memberi bantuan yuran pendaftaran peperiksaan SPM kepada pelajar Sekolah Menengah Persendirian memandangkan mereka dikenakan yuran berbanding secara percuma kepada pelajar sekolah kerajaan.
Katanya, jika kerajaan negeri boleh membantu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM150 bagi pelajar menduduki ujian MUET, beliau berharap bantuan yang sama dapat diberikan kepada pelajar sekolah persendirian.
“Dalam belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan, dimaklumkan bahawa satu inisiatif baharu diperkenalkan iaitu Bantuan Pendaftaran Yuran MUET (BAYU) sebanyak RM150 seorang yang dijangka memberi manfaat kepada seramai 8,458 orang pelajar. Pemberian bantuan ini bukan satu inisiatif baharu tetapi telah dilaksanakan pada tahun lepas (2025).
“Saya ingin tanya adakah YB Karanaan atau YB Sugut tahu bahawa semua pelajar di Sekolah Menengah Kerajaan tidak perlu membayar sebarang yuran pendaftaran peperiksaan SPM tetapi pelajar di Sekolah menengah Persendirian Cina dan Sekolah Menengah Swasta Mubaligh perlu membayar yuran pendaftaran peperiksaan SPM tanpa sebarang susidi.
“Persoalan saya, jika kerajaan boleh berikan peruntukan membiayai Yuran Pendaftaran MUET sejak tahun 2025, apakah pihak Kerajaan Negeri atau Kementerian Pendidikan Negeri Sabah mempunyai rancangan untuk memberi bantuan Yuran Pendaftaran Peperiksaan SPM kepada pelajar Sekolah Menengah Persendirian,” katanya. – Info X