KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan mengecam tindakan seorang lelaki yang dipercayai tenaga pengajar sebuah institusi pengajian agama memukul sekumpulan remaja lelaki yang juga pelajar sebuah madrasah, menggunakan topi keledar.
Katanya, berdasarkan video berdurasi hampir lima minit yang tular di media sosial, jelas menunjukkan perilaku yang tidak sepatutnya dibuat, lebih-lebih lagi terhadap anak-anak madrasah.
“Jika betul ada masalah, ada kesalahan atau pelajar terbabit perlu dihukum kerana melanggar undang-undang sekolah, bukan dengan cara menghentak kepala anak-anak itu dengan topi keledar.
“Ini tindakan tidak berasas, tidak beretika dan tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Menurut Fairuz, pihak berwajib perlu mengambil tindakan terhadap lelaki dewasa terbabit bagi memastikan hal yang sama tidak berulang pada masa akan datang.
“Malam tadi, lelaki berusia 30-an itu sudah ditahan pihak polis untuk siasatan dan semoga kejadian seumpama ini dapat dielakkan dan dikekang daripada berulang lagi pada masa akan datang.
“Anak-anak perlu dibentuk dengan sahsiah murni dan kesalahan perilaku mereka juga perlu ditegur dengan bimbingan secara berhemah, bukan dengan tindakan keji seperti yang kita lihat dalam video itu,” katanya.
Dalam pada itu, Fairuz yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri menegaskan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu sentiasa memantau sistem pengurusan sekolah seperti madrasah kerana hal sedemikian perlu dielakkan daripada kembali berulang.
“Kena ada satu tindakan khas, pantau pengurusan sekolah-sekolah seperti ini, kerana ibu bapa yang hantar anak-anak ke madrasah adalah dengan satu tujuan sahaja.
“Ibu bapa ingin membentuk sahsiah anak dengan pendidikan agama yang khusus dan memberikan kepercayaan kepada tenaga pengajar bagi menjaga dan mendidik anak-anak mereka di masrasah.
“Namun kejadian yang berlaku itu, sudah pasti menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa, andai tiada sebarang tindakan drastik dan khusus diambil dalam masa terdekat, secara berterusan,” katanya.
Dalam pada itu, Fairuz turut menekankan generasi muda seperti remaja dan belia di peringkat sekolah adalah generasi pelapis yang bakal menjadi peneraju legasi Sabah.
Justeru, katanya hak mereka untuk mendapat pendidikan serta perlindungan di tempat belajar perlu diutamakan.
“Anak-anak kita adalah permata yang kelak bakal menjadi pelapis, penerus kepada pentadbiran dan memajukan negeri kita.
“Mereka berhak untuk belajar dalam suasana yang aman, berlindung dengan keadaan yang selamat dan tidak diabaikan dari aspek kebajikan secara keseluruhan, terutamanya dalam skop dan ruang mereka dididik, iaitu di sekolah atau pusat pengajian.
“Semoga semua pihak sedar bahawa tindakan yang melibatkan keganasan dan boleh dikatakan sebagai zalim ini adalah tindakan yang merugikan institusi bermasyarakat dan persepsi negatif dapat diubah,” katanya. – Info X