KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Parti Warisan menyatakan pandangan bahawa sudah tiba masanya mentaliti persaingan kepartian dihapuskan dalam perkara yang membabitkan kepentingan Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong, Justin Wong, berkata perkara penting khususnya isu pengembalian 40 peratus hasil Sabah memerlukan sokongan padu semua ADUN bagi memastikan ia dapat direalisasikan sepenuhnya.
“Apabila melibatkan kepentingan Sabah, lebih-lebih lagi dengan mengambil kira impak besar yang bakal dibawa oleh perolehan 40 peratus ini kepada negeri, saya berpandangan bahawa sudah tiba masanya kita menghapuskan mentaliti persaingan kepartian,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2026 pada Persidangan DUN, di sini, pada Isnin.
Katanya, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum ini telah membuat keputusan bahawa 40 peratus itu adalah hak perlembagaan Sabah, bukan sekadar suatu aspirasi.
“Kini, setiap daripada kita di Dewan yang mulia ini bertanggungjawab untuk meneruskan usaha bagi memastikan hak 40 peratus ini dapat direalisasikan sepenuhnya.
“Ke hadapan, saya mencadangkan agar kita mengamalkan pendekatan dwipartisan bagi memastikan perkara ini dapat dicapai.
“Keputusan pilihan raya serta jumlah undi popular telah membuktikan bahawa pemulihan hak-hak MA63 bukanlah usaha bersifat kepartian semata-mata.
“Hakikat bahawa 74 peratus pengundi telah menyokong parti-parti tempatan kali ini merupakan isyarat jelas kepada Kerajaan Persekutuan bahawa kita memerlukan usaha yang bersatu dan bersepadu dengan menghimpunkan semua parti tempatan untuk berjuang bersama, kerana kita berkongsi matlamat yang sama,” katanya.
Beliau berkata, semua harus bersetuju bahawa pengundi kini semakin sedar dan lebih tegas dalam menuntut hak 40 peratus hasil negeri, terutama selepas keputusan Mahkamah Tinggi yang dibuat sejurus selepas pembubaran DUN pada Oktober lalu.
Jelasnya, keputusan itu pada hakikatnya telah mengesahkan perjuangan MA63 yang diperjuang selama bertahun-tahun dan mengangkat tuntutan 40 peratus daripada sekadar retorik imaginative kepada suatu hak yang kukuh, nyata dan boleh dituntut.
“Keputusan Mahkamah Tinggi ini telah menegaskan semula hak Sabah terhadap 40 peratus tersebut dan saya ingin merakamkan penghargaan kepada Sabah Law Society (SLS) kerana membawa kes ini ke mahkamah.
“Walaupun pada peringkat awal mereka dikritik dan dilabel sebagai pihak yang mencampuri urusan, SLS kekal teguh dan konsisten dalam memperjuangkan kes ini walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan.
“Akhirnya, usaha keras mereka telah membuahkan hasil,” katanya. – Info X