KOTA KINABALU: Empat individu dipercayai ahli keluarga mangsa ditahan selepas dilaporkan cuba menghalang tugas polis ketika pasukan keselamatan menjalankan tangkapan ke atas seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes belasah pelajar madrasah di Telipok, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, semua individu terbabit dilaporkan bertindak menghalang kenderaan polis termasuk menggunakan sebatang kayu golf.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan pegawai polis sedang menjalankan tugas untuk menangkap suspek.
Katanya, penahanan itu dilakukan bagi membantu siasatan kes kecederaan dan penderaan kanak-kanak yang telah dilaporkan sebelum ini.
“Siasatan awal mendapati beberapa individu dipercayai ahli keluarga mangsa bertindak menghalang kenderaan polis, mengeluarkan kata-kata kesat, cuba membuka pintu kenderaan serta menendang dan memukul kenderaan berkenaan sehingga menjejaskan tugas polis.
“Pihak polis telah membuat tangkapan ke atas empat lelaki berusia 30 hingga 50-an dan merampas sebatang besi golf yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan pihak polis akan memohon reman ke atas semua suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Katanya, semua suspek juga akan diarahkan untuk menjalani ujian saringan air kencing, serta merakam percakapan saksi-saksi kejadian.
“Orang awam dinasihatkan agar tidak bertindak mengikut perasaan, bertenang serta memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.
“Sebarang ketidakpuasan hati hendaklah disalurkan melalui saluran undang-undang yang betul,” katanya.
Sehubungan itu, Kasim memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang demi menjaga keselamatan serta ketenteraman awam.
Semalam, tular satu rakaman video berdurasi satu minit 30 saat dalam media sosial yang memaparkan seorang lelaki memukul sekumpulan remaja di sebuah premis, termasuk dengan menggunakan topi keledar.
Malah, lelaki itu turut dilihat menampar dan menendang mangsa. – Info X