KOTA KINABALU: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dijadualkan pada 24 Januari depan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun, berkata penamaan calon ditetapkan pada 10 Januari, manakala pengundian awal pada 20 Januari.
Katanya, writ pilihan raya pula dikeluarkan pada hari ini, serentak dengan Mesyuarat Khas SPR berkaitan penetapan tarikh penting PRN Kinabatangan dan Lamag.
“SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Tan Sri Dr Johari Abdul, Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 8 Disember 2025 dan Datuk Seri Kadzim M Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 9 Disember 2025 berhubung kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen P187 Kinabatangan dan Dewan Undangan N58 Lamag berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Sehubungan itu, SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas pada hari ini, 16 Disember 2025 (Selasa) dan memutuskan bahawa PRK Parlimen Kinabatangan dan PRK Lamag hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan di kedua-dua kerusi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. – Info X