Search

Mustapha, Arthur dilantik menteri, Lo Su Fui timbalan menteri dalam Kabinet baharu Persekutuan

December 16, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Rombakan Kabinet Persekutuan hari ini menyaksikan dua timbalan menteri dari Sabah dilantik sebagai menteri, menjadikan tiga menteri mewakili Sabah menganggotai Kabinet Baharu Persekutuan.

Dua timbalan menteri terbabit ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Kurup.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), manakala Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali kekal sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Rombakan terbaharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menyaksikan seramai tiga menteri dari Sabah dalam Kabinet Baharu Persekutuan, berbanding hanya dua menteri sebelum ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick memegang portfolio Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi tetapi meletak jawatan menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU Sabah Ke-17) bulan lalu.

Ewon yang juga Presiden UPKO kini dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III dan Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri setelah UPKO memenangi tiga kerusi dan menyertai kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui adalah muka baharu dari Sabah dalam Kabinet Persekutuan apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Tiga timbalan menteri dari Sabah sebelum ini pula bertukar portfolio, manakala seorang kekal dengan jawatan yang disandang sebelum ini.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin (Kimanis) kini memegang tugas Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, manakala Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) kini ditugaskan sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Seorang lagi ialah Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin yang kembali menjadi Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan setelah dipindahkan ke Kementerian Perladangan dan Komoditi sebelum ini.

Hanya Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Yusof Apdal (Lahad Datu) kekal dengan jawatan yang disandang sebelum ini. – Info X