SEMPORNA: Cubaan menyeludup petrol ke negara jiran gagal apabila seorang lelaki warga asing ditahan bersama 80 tong disyaki berisi minyak petrol dalam Op Taring Bravo 1 yang dijalankan oleh Cawangan Risik dan Task Force Perisikan Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak.
Operasi bersepadu dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna itu dilaksanakan di sebuah premis tidak bernombor di Kampung Batu, di sini, kira-kira jam 5.45 petang, pada Sabtu lalu.
Menerusi kenyataan media Batalion 22 PGA di Facebook rasminya, pemeriksaan ke atas sebuah bot kayu di lokasi berkenaan menemui 80 tong disyaki berisi minyak petrol yang dipercayai untuk tujuan penyeludupan.
“Susulan penemuan itu, seorang lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan. Pasukan operasi turut merampas sebuah bot kayu, dua enjin sangkut, peralatan bot serta 80 tong disyaki minyak petrol.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM67,000,” kata kenyataan itu, hari ini.
Kes tangkapan dan rampasan diserahkan kepada KPDN Semporna untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan.
Sementara itu, Pasukan Task Force Perisikan BN 22 PGA akan terus mempergiatkan operasi bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan. – Info X