KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) negeri memberi penekanan terhadap tiga inisiatif baharu berkaitan bekalan air, elektrik dan jambatan di kawasan luar bandar menerusi Belanjawan Sabah 2026.
Menterinya, Datuk Rubin Balang, berkata tiga inisiatif baharu di bawah Vot Pembangunan itu ialah Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA), Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA) dan Projek Jambatan Kecil Luar Bandar (JKLB).
Katanya, sebanyak RM4 juta diperuntukkan untuk program itu, masing-masing RM1 juta bagi BELBA dan BALBA, manakala RM2 juta untu Projek JKLB.
“Bagi Belanjawan 2026, kementerian saya telah mengenal pasti beberapa program dan projek baharu berimpak tinggi di bawah Vot Perbelanjaan Perbekalan dan Vot Perbelanjaan Pembangunan, yang mana dijangka memberi kesan mendalam terhadap peningkatan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
“Bagi tahun 2026, KPLB Sabah akan memberi penekanan utama kepada tiga inisiatif baharu di bawah Vot Pembangunan, iaitu Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA), Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA) dan Projek Jambatan Kecil Luar Bandar (JKLB).
“Ketiga-tiga program ini dirangka khusus untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar melalui penyediaan akses kritikal kepada sumber tenaga, air bersih dan jaringan pengangkutan yang selamat,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidang DUN Sabah, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi pelaksanaan BELBA yang menumpukan pembinaan Mikro Hidro Elektrik dan Sistem Hibrid Solar Fasiliti untuk membekalkan elektrik berskala kecil kepada kawasan luar bandar di luar capaian grid utama.
Pelaksanaan BELBA, katanya bukan saja memberikan bekalan elektrik yang stabil dan mesra alam bagi keperluan harian komuniti, malah menyumbang secara langsung kepada peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan keseluruhan rakyat luar bandar.
“Seterusnya, KPLB memperuntukkan RM1 juta bagi melaksanakan BALBA pada 2026. Program ini memberi fokus utama kepada Pembinaan Sistem Air Sumber Bawah Tanah dan Pembinaan Baharu Sistem Air Graviti.
“Ini penting untuk memenuhi keperluan air bersih di kawasan luar bandar yang berada di luar rangkaian paip Jabatan Air Negeri Sabah (JANS). Skopnya adalah untuk menyediakan bekalan air bersih di kawasan luar bandar yang berdepan kekangan sumber dan belum mempunyai liputan paip terawat yang menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, Rubin berkata Projek Jambatan Kecil Luar Bandar (JKLB) akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM2 juta, bertujuan membina baharu dan menaik taraf jambatan kecil di kawasan luar bandar yang sukar diakses, terutama yang tidak dapat ditampung di bawah perancangan agensi teknikal lain.
Skop JKLB, katanya merangkumi pembinaan jambatan gantung, jambatan laluan kenderaan (lima tan) dan lintasan paras rendah (low-level crossing) dengan sasaran utama di daerah-daerah lebih kritikal.
“Projek ini dijangka memberi impak langsung terhadap mobiliti, peluang ekonomi dan kesejahteraan masyarakat luar bandar,” katanya. – Info X