KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata komitmen berterusan akan diberikan untuk mengembalikan dan mengangkat martabat Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia.
Beliau yang dilantik ke portfolio itu dalam rombakan Kabinet Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, berkata tekad itu selaras dengan semangat, sejarah dan peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Hal ini selaras dengan semangat, sejarah dan peruntukan Perjanjian Malaysia 1963 yang menjadi asas pembentukan Persekutuan demi kemakmuran rakyat dalam negara Malaysia yang berdaulat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah itu adalah antara dua menteri lantikan baharu dari Sabah yang diumumkan dalam rombakan Kabinet Persekutuan pada Selasa.
Seorang lagi yang dilantik menteri ialah Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup yang memegang portfolio Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Sebelum ini, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar adalah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, manakala Arthur ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Mustapha menyifatkan pelantikan beliau ke portfolio baharu berkaitan hal ehwal Sabah dan Sarawak itu sebagai satu amanah dan kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan untuk melantik saya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).
“Pelantikan ini adalah satu amanah besar yang dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab dan kesedaran terhadap harapan rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak.
“InsyaAllah, tugas ini akan digalas dengan tekad untuk meneruskan dan memperkukuh usaha-usaha berkaitan Hal Ehwal Sabah dan Sarawak yang dimulakan di bawah teraju Kerajaan Malaysia Madani demi kepentingan kedua-dua wilayah,” katanya.
Katanya, tanggungjawab baharu itu akan digerakkan melalui kerjasama erat dan harmoni dengan Perdana Menteri, Premier Sarawak serta Ketua Menteri Sabah bagi memperkukuh penyelarasan dasar dan pelaksanaan di antara Persekutuan dan Wilayah Sabah serta Sarawak. – Info X