KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum memutuskan sama ada bertanding atau tidak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag yang dijadual pada 24 Januari depan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS, berkata GRS akan mengadakan perbincangaan sama ada akan
menyertai dua PRK itu yang penamaan calonnya ditetapkan pada 10 Januari depan.
Bagaimanapun, katanya besar kemungkinan GRS tidak akan bertanding bagi memberi laluan kepada parti yang menang di kedua-dua kerusi itu pada pilihan raya sebelum ini.
“Itulah yang kita akan bincangkan. Belum dapat dipastikan lagi tetapi prinsipnya kita akan beri laluan,” katanya ditemui selepas Persidangan DUN pada Selasa.
Beliau menegaskan sebarang keputusan akhir akan dibuat berdasarkan rundingan dan persetujuan semua pihak demi kepentingan rakyat dan kestabilan pentadbiran negeri.
“Setakat ini, kemungkinan besar kita tidak akan bertanding. Kita akan beri penghormatan dan laluan kepada parti yang menang, kebetulan mereka sebahagian daripada Kerajaan Negeri sekarang.
“Kita bersedia memberi laluan dan membantu rakan parti supaya mereka dapat memenangi pilihan raya kecil tersebut,” katanya.
Bagaimanapun Hajiji menegaskan, keputusan muktamad belum dibuat kerana beberapa perkara perlu dibincangkan dalam gabungan itu.
“Nanti saya akan berbincang dengan Presiden UMNO dan juga Pengerusi Barisan Nasional (BN),” katanya mengenai rundingan lanjut berkaitan PRK berkenaan.
Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag kosong berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu. – Info X