Search

Wanita warga emas hilang di Kampung Tambulion Laut

December 16, 2025

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang wanita warga emas dilaporkan hilang selepas gagal dikesan sejak semalam di Kampung Tambulion Laut, di sini.

Mangsa Minun Kasim, 83, dan kali terakhir dilihat kira-kira jam 5.30 petang di kawasan kampung berkenaan sebelum kehilangan disedari ahli keluarga.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.30 pagi.

“Seramai 11 anggota BBP Kota Belud digerakkan ke lokasi kejadian sejauh sembilan kilometer dan tiba pada jam 7.42 pagi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Operasi SAR hari pertama bermula pada jam 11.05 pagi dengan tumpuan pencarian di sepanjang tebing sungai selepas jambatan gantung Kampung Tambulion Laut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba turut memasang jaring keselamatan di kawasan empangan sungai, manakala Unit K9 menjalankan pencarian di tepi sungai.

“Setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi ditangguhkan pada jam 6 petang sebelum disambung semula pada 17 Disember,” katanya.

Operasi SAR turut membabitkan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kekuatan dua anggota dan seekor anjing pengesan, selain kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA serta penduduk kampung. – Info X