TAWAU: Seramai 218 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal melalui program pemindahan tahanan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pemindahan dilaksanakan dari Depot Imigresen Tawau melalui Terminal Feri Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia menggunakan kapal Francis Express dan Purnama Express.
“Daripada jumlah itu, 184 melibatkan lelaki dewasa, 24 perempuan dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan dengan lingkungan umur antara satu hingga 80 tahun.
“Semua kanak-kanak diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, JIM Sabah memaklumkan, sehingga kini seramai 2,375 warganegara Indonesia sudah diusir pulang ke negara asal, menjadikan jumlah keseluruhan PATI yang dipindahkan dari Sabah seramai 10,431 orang.
“Semua tahanan selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang sah sebelum proses pemindahan dilaksanakan.
“Pelaksanaan program pemindahan tertakluk kepada tempoh pengeluaran SPLP oleh Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Negeri Sabah,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pihak majikan disaran menyertai program pendataan digital warga asing yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah bagi merekod keberadaan pekerja asing, khususnya dalam sektor perladangan.
“JIM Sabah menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap majikan yang melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah, termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – Info X