KOTA KINABALU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebuah madrasah swasta, di sini, selepas seorang guru di institusi itu didakwa bertindak mengasari beberapa pelajarnya.
Pengarahnya, Datuk Jumain Abdul Ghani, berkata tindakan itu bergantung kepada hasil siasatan yang dijalankan pasukan penyiasat JHEAINS yang turun ke madrasah terbabit pada Selasa.
“Pasukan penyiasat JHEAINS pergi ke premis berkenaan untuk mendapatkan laporan penuh hari ini. Selepas itu, saya akan dapatkan laporan daripada mereka dan kita akan bertindak apa yang sewajarnya,” katanya ketika ditemui di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Beliau ditanya insiden sekumpulan pelajar sebuah madrasah, di sini yang didakwa dikasari seorang guru atau pengajar di institusi itu dengan menghentak kepala mereka menggunakan helmet.
Kejadian yang dipercayai berlaku pada malam kelmarin itu viral di media sosial hingga menimbulkan kemarahan dan kecaman netizen terhadap guru terbabit sebelum dia ditahan polis untuk siasatan lanjut.
Jumain berkata, madrasah yang mempunyai seramai 90 pelajar dengan lima tenaga pengajar itu adalah antara institusi tahfiz yang berdaftar di bawah JHEAINS.
Katanya, JHEAINS hanya menyelia institusi pendidikan agama seperti itu dan menyediakan sukatan atau silibus pengajian, manakala pengurusannya di bawah kelolaan madrasah itu sendiri.
Beliau mendedahkan, sebelum insiden itu, beberapa pelajar dari madrasah terbabit keluar waktu malam dengan berjalan kaki ke sebuah kafe siber yang terletak kira-kira satu kilometer.
Jelasnya, disebabkan risau terhadap pelajarnya, guru terbabit kemudian menyusuli mereka sebelum insiden kekasaran terhadap pelajar terbabit berlaku dan dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum diviralkan.
“Menurut pengajar itu, dia macam risaulah dan ini kejadian pertama. Guru ini memang lembut orangnya, tapi tak tahu macam mana dia naik angin pada ketika itu.
“Sakit hati sudah dia, merokok lagi pelajarnya, ada masalah disiplin jugalah. Jadi, dia ‘spot check’ dan datang mencari pelajarnya di sana.
“Pada saya, disiplin itu tetap disiplin, tapi tidaklah sepatutnya sampai ke peringkat itu, memukul,” katanya.
Berikutan itu, beliau menasihatkan semua pengusaha tahfiz atau madrasah supaya mendidik secara berhikmah dan menyelesaikan sebarang salah laku dengan baik tanpa membabitkan unsur kekasaran.
Katanya, adalah tidak wajar seseorang pengajar menggunakan kekasaran, termasuk memukul, lebih-lebih lagi membabitkan penggunaan objek keras.
“Ada kaedah lain, panggil dulu, beri nasihat dan rotan itu biasa. Lagipun mereka ini belasan tahun, remaja semua, mungkin juga mereka memberontak,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai tindakan JHEAINS, Jumain berkata pihaknya akan berbincang dengan pihak tahfiz terbabit apa yang perlu dilakukan bagi mengelak insiden berkenaan berulang pada masa depan.
“Kalau ternyata kesalahan polis, kita tidak sampai peringkat menutup tahfiz itu. Cuma kita cari satu kaedah bagaimana perbincangan dengan tahfiz itu supaya isu itu tidak berulang,” katanya. – Info X