Search

Sidang DUN: RM7.54 bilion pelaburan diterima Sabah setakat suku ketiga 2025

December 17, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah mencatat jumlah pelaburan RM7.54 bilion setakat suku ketiga 2025, menjadikan negeri ini sebagai negeri keenam tertinggi di Malaysia yang menerima pelaburan dalam tempoh berkenaan.

Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri, Datuk Ewon Benedick, berkata pencapaian itu sejajar usaha dan komitmen berterusan kementeriannya bersama agensi berkaitan dalam menyelaras dan memudah cara pelaburan di Sabah.

Katanya, pembangunan sektor perindustrian melalui kemasukan pelaburan ke negeri ini adalah antara asas penting dan pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah.

“Ini bukan saja memperkukuh daya saing ekonomi, malah menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan, memperluas peluang pekerjaan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri ini,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan DUN Sabah, pada Rabu.

Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III, berkata seiring dengan agenda untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah destinasi pelaburan utama di negara ini, kementeriannya terus komited dan bertekad untuk menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi, menyelaras dan memudah cara pelaburan.

Katanya, pembangunan industri tempatan juga tidak pernah dilupa dan diabaikan kerana ia adalah penggerak serta penyumbang utama kepada sektor pembuatan di Sabah.

“Dalam usaha untuk memperkasakan lagi industri tempatan, kementerian saya akan terus mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kapasiti dan kapabiliti pemain industri tempatan bagi memperkukuh daya saing mereka di pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Di samping itu, kementerian saya akan turut bekerjasama rapat dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), khususnya melalui penyertaan dalam misi pelaburan ke pasaran strategik antarabangsa dalam usaha memperkukuh promosi pelaburan.

“Kerjasama ini dilaksanakan menerusi satu inisiatif penjenamaan bersepadu (unified branding strategy) yang menyelaras promosi pelaburan di peringkat Persekutuan dan negeri agar maklumat mengenai pelaburan dapat disampaikan dengan lebih jelas, konsisten dan berimpak,” katanya.

Sementara itu, Ewon berkata, kementeriannya juga mengenal pasti dan menyenaraikan tenaga boleh diperbaharui, ekonomi biru, biomas serta pemprosesan makanan sebagai sektor utama untuk dipromosikan menerusi inisiatif itu ke pasaran antarabangsa seperti China, Jepun, Korea, Taiwan, Eropah dan Amerika Syarikat pada 2026 selaras dengan cadangan pihak MIDA.

Inisiatif itu, katanya diharap dapat memacu pembangunan ekonomi Sabah dalam menarik pelaburan berimpak tinggi yang dapat mewujudkan peluang perniagaan dan menyediakan lebih banyak lagi peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah serta membantu pertumbuhan syarikat tempatan. – Info X