Search

Imigresen Sabah hantar 783 PATI Filipina pulang ke negara asal

December 19, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang seramai 783 tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ke negara asal, hari ini.

Pemindahan itu dilaksanakan melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 23/2025.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pemindahan itu membabitkan 683 lelaki dewasa dan 70 perempuan dewasa.

“Ia turut melibatkan 28 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah serta dua kanak-kanak berusia 23 bulan ke bawah yang kesemuanya dihantar pulang melalui laut menggunakan Vessel MV Antonia 1 dari Depot Imigresen Sandakan.

“Purata usia tahanan yang dipindahkan adalah antara dua hingga 75 tahun, dengan kanak-kanak yang terlibat dihantar pulang bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sehingga kini seramai 11,221 warga asing telah berjaya dipindahkan ke negara asal masing-masing menerusi pengangkutan laut dan udara.

“Pemindahan itu membabitkan 8,421 warganegara Filipina, 2,375 warga Indonesia, 257 warga Pakistan, 92 warga China, 39 warga Vietnam, 10 warga India, tiga warga Thailand serta 24 warga asing lain,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata JIM Sabah akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang melindungi atau menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah.

“Majikan yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman berat mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara serta sebatan bagi kesalahan bersubahat atau melindungi PATI,” katanya. – Info X