Search

Penunggang motosikal maut langgar lori rosak

December 19, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar sebuah lori rosak ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalan Sungai Burung, Jalan Apas Balung, di sini, awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 32 tahun yang menunggang motosikal dari rumahnya di Batu 15, Jalan Apas sedang dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya.

Mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang kanan sebuah lori rigid bermuatan baja yang berhenti di laluan kiri Jalan Apas Balung berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 6.05 pagi, manakala siasatan awal mendapati lori terbabit mengalami kerosakan mekanikal serius sejak 17 Disember lalu kira-kira jam 10.30 malam.

“Lori berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun dan mengalami kerosakan enjin secara tiba-tiba ketika dalam perjalanan dari Batu 8, Jalan Apas menghala ke Beluran, menyebabkan ia tidak dapat dihidupkan semula.

“Akibat kerosakan itu, lori terbabit berhenti di laluan kiri jalan dan kekal berada di laluan utama selama kira-kira dua hari,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Menurutnya, siasatan turut mendapati kawasan kejadian tidak mempunyai lampu jalan serta tiada papan tanda amaran atau peranti keselamatan dipasang oleh pemandu lori bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke lorong kanan jalan dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Balung.

“Pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.

Beliau turut mengingatkan agar kenderaan yang mengalami kerosakan dialihkan ke tempat selamat serta memasang papan tanda amaran, terutama di kawasan gelap, bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang. – Info X