KUALA PENYU: Enam buah kedai jenis separuh kekal terbakar dalam satu kebakaran di Kampung Kayul, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian itu, tiada mangsa dilaporkan terlibat, namun semua kedai berkenaan dilaporkan terbakar kira-kira 60 peratus.
Pasukan bomba bertindak pantas memadam kebakaran bagi mengelakkan api daripada merebak lebih luas ke premis berhampiran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, Penolong Penguasa Bomba Zulhalim Abidin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.46 malam sebelum sembilan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.40 malam dan operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 12.30 tengah malam, manakala punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba. – Info X