KOTA KINABALU: Walaupun gagal memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU DU Sabah Ke-17) yang lalu, Pemangku Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Priscella Peter masih tetap turun padang untuk menyantuni penduduk di kawasan itu.
Pemimpin muda berusia 27 tahun itu dikatakan meluangkan masa menyantuni dan menziarahi penduduk kampung di beberapa buah kampung di Tenom, sempena dengan sambutan Krismas yang bakal tiba Khamis ini.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau, Priscella dikatakan meluangkan masa pada hujung minggu lalu untuk berkunjung ke beberapa buah rumah sambil bertanyakan khabar.
“YBhg Cik Priscella Peter, Pemangku Presiden KDM meluangkan masa menyantuni dan menziarahi penduduk kampung di beberapa buah kampung di Tenom, menjelang sambutan Krismas 2025 yang kian tiba.
“Dalam masa yang sama beliau saling bertanya khabar dengan penduduk kampung dan melihat beberapa persiapan mereka untuk sambutan Krismas nanti.
“Semoga kita diberikan keberkatan dan dilindungi oleh yang Maha Esa,” kata hantaran itu.
Pada PRU DU Sabah Ke-17 lalu, anak kepada Datuk Peter Anthony itu meraih sebanyak 4,539 undi namun tewas kepada Datuk Jamawi Jaafar yang memperolehi 5,064 undi. – Info X