KOTA MARUDU: Polis memohon bantuan orang ramai bagi mengesan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang sejak 6 November lalu selepas dipercayai keluar rumah untuk ke tapak fun fair di Pekan Baru, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simun Lomudin berkata, remaja terbabit dikenali sebagai Siti Nurfazirah Asmarullah, 14, berbangsa Filipina dan beralamat terakhir di Kampung Bengkongan, Kota Marudu.
Menurutnya, mangsa mempunyai susuk badan kurus, berkulit cerah, bermata hitam serta berambut hitam panjang paras dada.
“Pada hari kejadian kira-kira jam 7 malam, mangsa dipercayai memaklumkan ahli keluarganya untuk keluar dari rumah bagi pergi ke fun fair di Pekan Baru Kota Marudu.
“Bagaimanapun, mangsa masih belum pulang ke rumah sehingga kini walaupun usaha mengesan telah dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan keberadaan atau penemuan remaja berkenaan diminta tampil membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi SJN Stephen Wan di talian 019-4695081 atau IPD Kota Marudu di 088-668449, atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X