Search

Ibu peluk jasad anak, remaja maut motosikal terbabas

December 26, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suasana pilu menyelubungi lokasi kemalangan apabila seorang ibu memeluk jasad anak lelakinya yang maut selepas motosikal ditunggangi remaja itu terbabas di Jalan Pintas, Kopungit, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15 disahkan meninggal dunia di lokasi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ibu mangsa kelihatan tidak mampu menahan sebak ketika mendakap tubuh anaknya, disaksikan ahli keluarga dan orang awam di lokasi.

Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu menerima panggilan kecemasan sebelum tiba di lokasi empat minit kemudian.

Pemeriksaan mendapati motosikal dipercayai terbabas sendiri sebelum melanggar pokok dan terjatuh ke dalam longkang.

Pemangku Ketua Balai BBP Kota Kinabalu, Mohammad Hannis Moktar berkata mangsa disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Anggota polis mengangkat mayat mangsa masuk ke kenderaan polis untuk dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu.

Beliau berkata, pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan keselamatan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.

Operasi ditamatkan pada jam 6.04 petang dengan kekuatan sembilan anggota, dibantu PDRM dan KKM.

Identiti mangsa masih belum diperoleh dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihak polis. – Info X