Search

Rampasan dadah 6.2 tan bernilai RM1.04 bilion bongkar makmal haram MDMA

December 26, 2025

Info X Reporters

SEMENYIH: Rampasan dadah seberat 6.2 tan dengan nilai pasaran dianggarkan RM1.04 bilion menjadi antara kejayaan terbesar Polis Diraja Malaysia apabila sebuah makmal haram memproses dadah disyaki jenis Methylenedioxy Methamphetamine (MDMA) berjaya dibongkar di sekitar Lembah Klang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejayaan besar itu hasil risikan berterusan susulan penahanan enam suspek pada 16 Disember lalu, sebelum membawa kepada beberapa siri serbuan susulan oleh JSJN Bukit Aman pada 21 Disember.

“Seerbuan dilaksanakan di beberapa lokasi strategik termasuk Taman Industri Selesa Jaya, Seri Kembangan; Kajang, Selangor serta Taman Perindustrian Kepong, Kuala Lumpur, yang dipercayai berfungsi sebagai pusat pemprosesan dan penyimpanan dadah berskala besar.

“Dalam operasi ini, polis merampas kira-kira 6.2 tan dadah terdiri daripada MDMA dalam bentuk cecair dan serbuk, selain kokain serta ketamin, bersama pelbagai peralatan dan bahan kimia dipercayai digunakan untuk memproses dadah,” katanya pada sidang media di Balai Polis Semenyih, hari ini.

Beliau berkata, jumlah rampasan itu mampu menjejaskan serta merosakkan kira-kira 20.7 juta orang, sekali gus menggagalkan rangkaian pengedaran dadah yang dipercayai menyasarkan pasaran tempatan dan antarabangsa.

Menurutnya lagi, secara keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan harta dalam operasi berkenaan dianggarkan mencecah RM2.6 bilion, termasuk sitaan beberapa kenderaan, jentera berat serta peralatan industri yang digunakan bagi aktiviti pemprosesan dan pengedaran dadah.

Katanya, kesemua enam suspek kini direman selama 14 hari bermula 17 hingga 30 Disember 2025 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.

JSJN menegaskan Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan pengedaran dan pemprosesan dadah, sambil menggesa orang ramai menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222. – Info X