LAHAD DATU: Seorang wanita yang mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah ditahan selepas disyaki memiliki syabu dalam satu operasi polis di sebuah hotel di Jalan Seroja, di sini, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 10.50 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu bertindak hasil maklumat awam menerusi Op Tapis.
Susulan tindakan itu, seorang wanita tempatan berusia 37 tahun berjaya ditahan di dalam sebuah bilik hotel.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu serta sebatang straw yang diubah suai.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana mengambil dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semakan rekod lampau mendapati suspek pernah terlibat kes di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, namun masih mengulangi perbuatan sama.
“Suspek kini ditahan bagi siasatan lanjut dan polis menegaskan komitmen berterusan IPD Lahad Datu dalam membanteras jenayah dadah di daerah ini,” katanya. – Info X