KOTA KINABALU: Sebuah pesawat AirAsia dari Kuala Lumpur ke Bandar Seri Begawan, Brunei dilapor menghadapi masalah teknikal ketika dalam penerbangan pada Sabtu.
Berikutan masalah itu, pesawat berkenaan dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) untuk kecemasan dan mendarat dengan selamat.
Sejurus mendarat, semua penumpang dan anak kapal turun dalam keadaan selamat sebelum menaiki sebuah pesawat gantian yang berlepas ke destinasi yang dituju pada hari yang sama.
AirAsia dalam kenyataannya pada Ahad, berkata juruterbang pesawat berkenaan mematuhi prosedur yang ditetapkan dalam keperluan operasi dan berjaya mendarat dengan selamat di KKIA.
CEO AirAsia Malaysia, Datuk Captain Fareh Mazputra, berkata pesawat AK278 itu kemudian menjalani pemeriksaan perlu, manakala penumpang meneruskan penerbangan menggunakan pesawat gantian pada jam 8.08 malam, semalam.
“Kru kabin dan pesawat bertindak mengikut prosedur sedia ada dan kesegeraan untuk menangani situasi.
“Dengan pelan penerbangan akhir tahun sedang berlangsung, pasukan kami memberi tumpuan dalam meminimakan gangguan.
“Kami bersyukur terhadap kru kabin dan pesawat atas profesionalisme mereka dan kepada penumpang kami atas kesabaran dan kefahaman mereka terhadap tugas pasukan kami untuk memastikan mereka selamat dalam penerbangan,” katanya. – Info X