Search

Pemilik melecur, rumah dan kenderaan musnah

December 29, 2025

Info X Reporters

SOOK: Seorang lelaki melecur di bahagian bahu selepas rumah miliknya musnah dalam kebakaran di Sungai Batu Lunguyan, di sini, malam tadi.

Mangsa berusia 46 tahun dipercayai mengalami kecederaan ketika cuba menyelamatkan diri sebelum dihantar ke Klinik Tulid, Sook oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Sook, PBT Faisal Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.54 malam.

Menurutnya, seramai enam anggota dari BBP Sook digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 31 kilometer, dengan jentera bomba tiba pada jam 9.30 malam.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah separuh kekal yang terbakar 100 peratus, selain sebuah kereta Perodua Kancil dan dua motosikal jenis Honda turut musnah.

Anggota bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Sungai Batu Lunguyan, Sook. Pix/Bomba

“Kerja pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dengan dua pancutan air daripada jentera bomba dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.45 malam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Faisal berkata, operasi pemadaman dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Sabah Electricity, sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.41 malam selepas keadaan disahkan selamat.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – Info X